Monday 26 October 2015

PT3 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
saat ini terdetik saya menyampaikan sedikit info berkaitan PT3 2015.

Saya mengajar satu kelas Tingkatan 3, setiap kali pembelajaran dan pengajaran dijalankan ia penuh dengan input input topik tingkatan 3 sahaja. Saya hanya mampu menyelitkan sedikit demi sedikit imbauan topik Tingkatan 2 dan Tingkatan 1. Cukup rasa dengan kekangan masa. Setiap kali membincangkan intipati kemahiran saya cuba memberi gambaran rupa soalan yang akan keluar. Terus terang saya nyatakan di sini, tiada sekali pun kelas bimbingan saya buat untuk calon PT3.......mungkin saya lebih mengabdikan diri untuk calon SPM Matematik Tambahan.

Setiap latihan PENEGUHAN yang ada dalam buku teks akan dijadikan latihan yang wajib dijawab bagi menerapkan soalan bercirikan KBAT. Buku model latihan PT3 hanya digunakan oleh murid target A, manakala murid lain diberi lembaran tambahan yang lain. (sesuai dengan aras mereka). Apa yang masih ralat dalam diri saya ialah Nota PT3 bagi soalan soalan mudah masih gagal saya siapkan.

Sebulan sebelum PT3, study week waktu pdp adalah dalam 3 kumpulan, Target A, Target B/C, dan Target Lulus. Habis PdP, rasa macam baru balik marathon 2 km......hahaha. 

Sehingga ke tarikh Verifikasi soalan ke sekolah lain, saya memang tidak pernah melihat soalan PT3, dan saya sendiri tidak tahu soalan apa yang dipilih oleh sekolah saya.

19/10/2015 hingga 21/10/2015 saya bermesyuarat di Kuala Lumpur untuk memahami Panduan Penskoran, di sinilah baru saya menghayati soalan pada setiap soalan. Syabas LPM kerana soalan amat baik,
1. Memenuhi kemahiran Topik Tingkatan 3.
2. Ada ciri ciri menjurus soalan SPM
3. Dikaitkan dengan kehidupan harian.
4. KBAT yang boleh diselesaikan lebih dari satu cara.
berbeza dengan PMR
1. Kemahiran Topik Tingkatan 3 ada yang hanya digunakan dalam soalan SPM.
    namun ada beberapa perkara yang perlu diteliti
2. Skema bagi soalan KBAT kadang kadang tidak sesuai dengan jangkaan jawapan kita, contohnya 
    hanya menyatakan jejari sudah mendapat P1. Ataupun dengan melukis rajah yang sesuai dengan 
    jawapan dan dilabel dengan nilai yang dikehendaki, kemungkinan mendapat markah penuh.
    Manakala jawapan pengiraan yang paling tepat pula menggunakan kemahiran Tingkatan 4.
    (Namun perkara ini masih boleh dibaiki)
3. Set soalan yang pelbagai, amat menyukarkan PKw melaksanakan tugas mereka. Justeru mohon ia
    lebih dimurnikan.

22/10/2015 hingga 23/10/2015 kami menyampaikan pula panduan penskoran di peringkat Daerah. Disaat rakan lain cuti jerebu, syabas guru terlibat tetap tersenyum malaksanakan tugas masing masing.

Kesimpulannya saya amat menghargai perubahan corak soalan PT3, inilah langkah langkah kearah perubahan soalan SPM. Dimensi murid dan guru perlu berubah.....perlu lebih mencabar dan menarik. Setiap perkara baru pasti ada kelemahan, namun ia masih boleh diperbaiki.

Saturday 3 January 2015

TANGGUNGJAWAB 2015

Seperti yang saya telah nyatakan dalam entri sebelum ini, bagi tahun 2015 secara rasminya semalam....saya sudah tidak memegang jawatan sebagai SU PBS. Maka kemungkinan masalah teknikal berkaitan PBS tidak dapat saya kongsikan, melainkan jika ia melibatkan SPS. 

Saya hanya akan terlibat dengan PT3 Negeri dan Daerah melibatkan mata pelajaran Matematik sahaja. 

Tugas baru 2015:
Penyelaras/Guru Bestari SMK Khir Johari - Thank you Tuan Haji Muhammad Radzi b. Ismail atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan.

SEBUAH CATATAN UNTUK IBUBAPA

Realitinya ramai ibubapa yang amat terkilan dengan keputusan PT3. Saya adalah antara seorang ibu yang mempunyai seorang anak lelaki di SBP.....menjadi bahan rintis pelaksanaan PBS. Rata-rata keputusan SBP jatuh menjunam seperti tragis kapal terbang. Bezanya calon PT3 masih boleh bangkit dan berdiri.

Saya tidak dapat nafikan bahawa proses perubahan dan pelaksanaan PBS memang mengecewakan....terdapat beberapa kelemahan. Namun sebagai pendukung kepada pelaksanaan Dasar Kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab kami cuma melaksanakan sebaik yang mungkin. Sebenarnya hala tuju dan intipati PBS adalah baik. 

Dari sudut seorang guru, PdP (Pembelajaran dan Pengajaran) dilaksanakan seperti biasa....konsep isi kandungan pelajaran perlu difahami oleh murid dan mencapai objektif. Kemudian murid akan ditingkatkan lagi keupayaan berfikir mereka melalui penambahan bilangan soalan tahap analisis dan sinstesis. Inilah yang dikatakan penerapan unsur unsur KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi). Jika dahulu nisbah kesukaran soalan PMR adalah 5:3:2 (rendah:sederhana:sukar) tetapi PT3 ialah 3:4:3 (rendah:sederhana:sukar) Kemudian guru-guru akan mencatatkan tahap pencapaian murid dalam setiap kemahiran yang dilalui, iaitu Pentaksiran Sekolah yang dinyakan dalam bentuk band. 

Dari sudut seorang murid, mereka perlu sentiasa aktif dalam mengikuti proses PdP kerana setiap kemahiran yang dipelajari akan dinilai pencapaian dalam bentuk band. Selain itu semua perkara yang ada dalam setiap tajuk mempunyai kebarangkalian ataupun berkemungkinan akan keluar. Maka pada saat ini, murid-murid wajarlah sedar bahawa mereka perlu peka dengan apa yang dipelajari didalam kelas dan menyelesaikan segala tugasan pada waktu semasa. Secara tidak langsung, kita telah mendidik murid agar lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri pada setiap waktu persekolahan. Murid juga perlu malatih diri untuk berkomunikasi dengan baik kerana mereka akan diuji dalam Ujian Lisan. Perkara yang seringkali menjadi masalah kepada guru ialah, murid-murid langsung tidak berminat dengan Subjek Sejarah. Justeru itu kajian Kes Sejarah telah memaksa mereka melalui proses pembacaan, pengumpulan maklumat, penulisan bahan dan sebagainya.

Dari sudut seorang ibubapa, kita hendaklah cuba memahami dasar dan matlamat kerajaan. Cuba mendapatkan maklumat dari mana-mana dan yang paling mudah daripada pihak sekolah. Cuba kita bandingkan anak PMR dan anak PT3. Kalau dahulu kita tahu anak kita selalu mendapat markah Matematik sekitar 60 hingga 70, tetapi bila PMR mereka mendapat A. Ataupun anak kita tidak pernah mendapat 'Straight A' dalam peperiksaan di sekolah dan percubaan PMR, tiba-tiba PMR 'Straight A'. Logikkah tiba-tiba dalam masa sebulan anak kita pandai dengan mendadak (boleh berlaku tetapi jarang sekali). Masuk anak PMR ke Tingkatan 4, Matematik Tambahan gagal sesaje. Namun masih ada murid PMR yang boleh skor A dalam Matematik Tambahan....kenapa boleh berlaku demikian. Murid skor Matematik Tambahan A adalah murid yang PMR A Matematik dengan skor 90+, tetapi murid yang gagal Matematik Tambahan adalah murid yang PMR A Matematik dengan skor 70+. (Pengredan ditentukan oleh Lembaga Peperiksaan berdasarkan statistik tertentu). 

Berbeza dengan murid PT3, A mereka adalah dalam ranking markah 80-100, dan tidak sama sekali berubahan oleh mana-mana faktor. Jika hanya terdapat 83 orang sahaja Straight A seluruh negara, itulah gambaran sebenar bahawa murid tersebut benar-benar bijak, rajin, tekun, bersungguh-sungguh dan sebagainya. Mungkin anak kita memang pandai, tetapi dia kurang rajin.......ataupun mungkin anak kita rajin tetapi dia kurang bijak. Ini adalah realiti yang perlu difahami oleh kita sebagai ibubapa.


Dari sudut pihak sekolah, Dasar Kerajaan totally sudah berubah.....maka dasar pentadbiran sekolah perlu berubah. Jangan sama sekali kita membiarkan anak-anak yang cerdik pandai mencari ilmu sendiri.....mereka perlu dibimbing. Murid-murid perlu didedahkan dengan KBAT....PdP mesti ada KBAT......PdP mesti relevan dengan perubahan semasa. Tiket kepandaian anak anak di SBP bukan tiket untuk pihak pentadbiran dan guru bersenang senang kerana pelanggan sudah pandai. Sepatutnya tiket inilah yang digunakan untuk menghasilkan murid yang cukup berkualiti dan unggul. Guru sudah tidak boleh buta IT....guru perlu memastikan pembelajaran boleh berlaku sepanjang masa dan dimana sahaja.


Semoga catatan saya ini dapat membantu masyarakat diluar memahami perubahan ini.
Maaf jika ada tulisan yang menguris hati.